Bantuan RM500 kepada KIR di Beaufort : Hajiji

BEAUFORT :ย Setiap ketua isi rumah (KIR) yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) disini akan menerima bantuan wang ihsan RM500 daripada kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan yang disampaikan kepada KIR itu adalah bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir teruk yang melanda kawasan itu.


Tambah beliau, kerajaan negeri akan menambah bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir sebagai usaha membantu mereka yang terkesan akibat musibah itu.


“Kita bukan sahaja akan memberikan mereka bantuan wang ihsan tetapi juga akan menambah lagi bantuan bakul makanan.


“Disamping itu, kita juga akan memberikan perhatian terhadap perkara-perkara berkaitan yang terjejas akibat banjir seperti masalah bekalan air bersih dan jalan raya terputus yang dibangkitkan wakil rakyat dalam sesi taklimat tadi, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury; Pembantu Menteri 1 Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Musa serta Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.


Sebelum Beaufort, Hajiji turut meluangkan masa melawat mangsa banjir di Tenom yang ditempatkan di PPS Dewan Sri Ontoros Kemabong selain turun padang meninjau keadaan rumah penduduk yang ditenggelami banjir di situ. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *