Kebakaran musnahkan lebih 30 rumah di Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Dianggarkan lebih 30 rumah perkampungan atas air di kawasan Kampung Tanjung Aru dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Jemros Olin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.

Menurutnya, pasukan bomba bersama lima jentera dan 32 anggota 
bomba segera ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati api sedang marak dan operasi memadam dilakukan. Api berjaya dikawal kira-kira 30 minit.

“Keadaan laluan ke lokasi yang agak sempit serta tekanan air rendah antara punca yang menyukarkan operasi pemadaman api dijalankan.

“Kawasan perkampungan ini juga menggunakan jambatan kayu untuk menghubungkan antara rumah dan kebanyakan jambatan juga musnah terbakar,” katanya yang turut ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, situasi terbabit menyukarkan anggota bomba untuk masuk ke kawasan kebakaran memandangkan pasukan bomba memerlukan jentera lori tangki untuk memadam api.

Jemros berkata, laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, kebakaran terbabit dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk cuba memadam api menggunakan air dari baldi namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.

Operasi pemadaman api terkawal pada jam 2.02 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 4.30 pagi.

Selain bomba, agensi lain yang membantu operasi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – UTUSAN BORNEO
 

Leave a Reply

Your email address will not be published.