Kerjasama UMNO-DAP selepas PRU-15 tidak mustahil
KOTA KINABALU: Pembentukan kerajaan campuran mungkin menjadi salah satu kaedah penyelesaian sekiranya tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, jika tiada mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) mampu memperoleh majoriti mudah 112 kerusi maka, pembentukan kerajaan campuran tidak mustahil akan berlaku.
Malah, kenyataaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai kemunkinan DAP bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan Persekutuan merupakan kenyataan yang logik.
Biarpun kenyataan itu dibuat selepas mereka menyelar Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyatakan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRU-15 dengan bayangan tiada parti mampu memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Kuok Tiung berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik. Kerjasama antara Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU-14 membuktikan bahawa musuh tradisi dalam politik boleh bergabung.
โKita tidak tahu kemungkinan sudah ada rundingan rahsia antara DAP dengan UMNO,โ katanya.
Menurut beliau, gabungan parti sedia ada juga masih lagi kukuh. Walaupun wujud persaingan antara PH-BN dan PN namun, PH mempunyai paling banyak kerusi pada ketika ini dan mereka pastinya menjadi perhatian pada pilihan raya akan datang.
Justeru, perlu dilihat adakah PH mampu mengulangi pencapaian pada PRU-14. Sekiranya mereka mampu memperoleh banyak kerusi namun, agak mustahil untuk memperoleh majoriti 112 kerusi.
Maka, kerajaan campuran akan menjadi salah satu pilihan yang ada selepas PRU-15.
Sementara itu, seorang lagi Pensyarah Kanan UMS, Dr. Romzi Ationg berkata, politik di negara ini cukup dinamik maka, hal-hal yang tidak dijangka mungkin boleh berlaku.
โNamun, kita masih berharap agar ketidakstabilan politik akan berakhir selepas PRU-15 sekali pun jumlah majoriti diperoleh amat minimum.
โDengan pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, senario politik yang stabil akan dapat dilihat pada PRU-15,โ katanya.-UTUSAN