2,834 kes HFMD dilaporkan di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang agak tinggi dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dengan 2,834 kes direkodkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, pada tempoh sama tahun lalu, hanya 55 kes direkodkan dan ia menunjukkan peningkatan yang sangat tinggi.

Beliau berkata, daripada 2,834 kes direkodkan tahun ini, Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 435 kes, diikuti dengan Sandakan 387 kes, Lahad Datu 308 kes, Kota Belud 244 kes dan Papar 229 kes.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kes kematian disebabkan oleh HFMD dilaporkan setakat ini.

Menurut beliau, 93.1 peratus jangkitan HFMD ini membabitkan kanak-kanak berusia kurang dari enam tahun. Kebanyakan mereka dijangkiti di rumah mahupun pusat pendidikan awal.

Rose Nani berkata, kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti. HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama.

Apabila kanak-kanak dijangkiti HFMD, mereka akan mengalami lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut yang diakibatkan oleh virus (kumpulan enterovirus).

Susulan tren peningkatan kes itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan melakukan siasatan segera ke atas kes-kes yang dilaporkan serta mengarahkan penutupan premis taska bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD sekiranya terdapat jangkitan di premis berkenaan.

Maka, ibu bapa turut disaran untuk memainkan peranan mencegah penularan jangkitan HFMD dengan memastikan anak-anak mereka sentiasa membasuh tangan dengan sabun sebelum makan; cuci serta disinfeksi bilik air, mainan serta barang yang disentuh anak; elakkan anak berkongsi peralatan peribadi seperti tuala dan berus gigi; dan tidak menghantar anak yang dijangkiti ke tempat awam dan pusat pendidikan awal. โ€“ UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *