Polis siasat laporan unduk ngadau dicabul

KOTA KINABALU: Siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap laporan peserta Unduk Ngadau yang didakwa dicabul salah seorang jawatankuasa penganjur pertandingan itu bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya akan meneliti laporan polis itu dan pengadu atau mangsa yang membuat laporan itu juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci sebelum mengambil apa-apa tindakan berkaitan kes ini.

“Siasatan juga tidak akan mengambil kira latar belakang sesiapa saja termasuk individu yang didakwa.

“Tidak kiralah siapa pun, undang-undang tetap akan dikuatkuasakan, sesiapapun tidak boleh melangkaui undang-undang, kita akan siasat,” katanya.

Tambahnya jika kes membabitkan gangguan seksual kes akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata hasil siasatan nanti akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya.

Satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu tular di media sosial dan aplikasi WhatsApps berhubung laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa diraba salah seorang jawatankuasa penganjur.- UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.