Sabah jamin hospital mampu tampung peningkatan kes COVID-19

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan fasiliti kesihatan di negeri ini berupaya menampung pesakit COVID-19 walaupun penularan kini meningkat semula.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pihaknya menjangka angka harian kes COVID-19 terus meningkat selepas banyak ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan, termasuk yang dirangka khusus oleh kerajaan negeri.

“Kita telah menjangkakan jumlahnya (angka harian kes COVID-19) terus meningkat selepas menarik balik pelbagai sekatan (dalam SOP) sebelum ini.

“Selain itu, kita juga mengesyaki ada penularan varian baharu tetapi belum disahkan oleh Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS)

“Bagaimanapun, hospital kita masih mampu menampung keperluan sekiranya mereka (pesakit COVID-19) dimasukkan ke sana. Buat masa ini, keperluan itu tidak terlalu tinggi. Malah, kita berasa terjamin kerana sudah ada perlindungan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai trend peningkatan jangkitan COVID-19 di Sabah, pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sabah, di sini, semalam.

Semalam, Sabah mencatat 238 kes baharu COVID-19.

Sementara itu, Masidi yang juga Pengerusi Penganjur Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sabah berkata, program terbabit dijadualkan bermula 31 Julai ini di Padang Merdeka, di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga memutuskan untuk mengadakan sambutan itu serentak dengan Hari Pahlawan.

Selain itu, katanya, beberapa ketetapan telah diputuskan berhubung pelaksanaan program berkenaan, termasuk tempoh sambutan akan dipendekkan dan pelajar sekolah dikecualikan daripada menyertai perarakan.

“Bagi perarakan tahun ini, kita mengecualikan pelajar sekolah kerana mengambil kira kedudukan kes COVID-19 di Sabah. Kita mahu mengelakkan risiko jangkitan dalam kalangan golongan itu.

“Ini kerana jika ada yang terdedah kepada jangkitan itu, risiko ia merebak amat tinggi apabila mereka kembali ke sekolah nanti,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *