Beranikan diri terima vaksin
PITAS: Masyarakat disaran tampil dan beranikan diri untuk menerima vaksin sekaligus membantu barisan hadapan memerangi Covid-19.
Pembantu Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Rudy Awah berkata kerjasama semua pihak dapat membantu meningkatkan peratusan pendaftaran untuk menerima vaksin di Sabah.
“Jangan takut untuk menerima vaksin, hal ini kerana saya dan beberapa kakitangan awam yang berkhidmat di daerah ini sudah pun selesai mengambil vaksin Covid-19.
“Saya sangat yakin kaedah yang paling berkesan untuk menghentikan penularan jangkitan wabak Covid-19 adalah dengan mengambil suntikan vaksin tersebut.
“Dangan meningkatnya pengambilan vaksin oleh masyarakat daerah Pitas, akan membantu mewujudkan satu komuniti yang mempunyai imunisasi yang boleh memerangi Covid-19 ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas berkenaan perancangan kerajaan negeri untuk melantik 20 klinik swasta yang akan dibenarkan memberikan suntikan vaksin di negeri ini.
“Kita telah berbincang dengan Ketua Menteri bagi melantik 20 klinik swasta untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam memberikan vaksin ini.
“Usaha ini bertujuan untuk membantu meningkatkan peratusan pengambilan vaksin dan meringankan bebanan tugas JKNS yang sangat banyak di kala negara sedang menghadapi wabak Covid-19,” jelas beliau kepada media dalam Program Sepakat @ Komuniti, baru-baru ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa dan Penolong Pegawai Daerah Pitas, Lee Chun Kiat. – UTUSAN BORNEO