APMM Lahad Datu gagalkan cubaan seludup rokok

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di sini menggagalkan cubaan menyeludup masuk 4,400 batang rokok putih dianggar bernilai RM38,000 di sini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, aktiviti penyeludupan dikesan menerusi rondaan di sektor tanggugjawab di kedudukan 1.5 batu nautika barat Pulau Kerok, kira-kira jam 6 pagi.

“Bot peronda telah mengesan sebuah bot enjin sangkut yang kelihatan bergerak dalam keadaan mencurigakan dan apabila menyedari kehadiran bot peronda, bot suspek memecut laju untuk memboloskan diri,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, suspek turut kelihatan membuang beberapa bungkusan plastik berwarna hitam ke laut sebelum meluncur laju ke arah kawasan muara Sungai Tengah Nipah.

Katanya, suspek berjaya meloloskan diri dari ditangkap dengan menggunakan alur sungai yang cetek dan sempit.

Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan telah menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok putih yang telah dibuang suspek sebelum melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Abdul Muhaimin menegaskan Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan kawalan di sempadan perairan negara dan berhubung kes penyeludupan itu, APPM kian giat memperincikan siasatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek.

“Sebarang perlanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin dan lain-lain kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” ย katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *