Pasukan khas tangani tuntutan waris Sultan Sulu

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan waris Sultan Sulu terhadap kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau akan mengetuai pasukan khas terbabit, selain dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan terma rujukan dan juga keahlian tambahan, jika perlu bagi pasukan khas ini.

“BHEUU dan Kementerian Luar Negeri akan bertindak selaku urus setia pasukan khas ini.

“Kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu, khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Justeru itu, kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini, demi mempertahan aset dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi laporan muka depan BH hari ini, bekas Menteri Luar dan Menteri Undang-Undang, Tan Sri Syed Hamid Albar, menggesa kerajaan mencari penyelesaian muktamad, termasuk melalui langkah diplomatik dan perbincangan dengan Kerajaan Filipina supaya tidak berlaku lagi sebarang tuntutan daripada waris Sultan Sulu terhadap Sabah, pada masa depan.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan juga perlu menubuhkan satu pasukan peguam tempatan dan antarabangsa, bagi mengetepikan semua keputusan timbang tara yang dikemuka waris Sultan Sulu ke atas Malaysia.

Syed Hamid turut mencadangkan pasukan khas itu meneliti semua tuntutan yang ada bukan saja daripada waris Sultan Sulu, tetapi juga tuntutan kumpulan lain.

Beliau turut menggesa kerajaan menggunakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 2020 yang tidak memihak kepada tuntutan waris Sultan Sulu untuk menolak sebarang tuntutan mereka.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Bagaimanapun, PETRONAS dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataannya kelmarin, Wan Junaidi berkata, kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Kerajaan Malaysia kini sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award itu.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *