Orkid Sabah kelima termahal di dunia

POKOK orkid mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman, selain penyumbang kepada industri tanaman hiasan di Malaysia.

Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mempunyai 1,001 macam manfaat, selain harganya ada yang mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu.

Malah, spesies keluarga orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae juga mempunyai manfaat perubatan, meskipun tidak sepopular tumbuhan herba seperti Tongkat Ali mahupun Kacip Fatimah.

Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 ‘genera’ di seluruh dunia.

Berdasarkan penyelidikan pakar orkid dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dianggarkan 1,026 spesies dalam 155 genera orkid terdapat di Semenanjung, dan 215 spesies adalah endemik.

Di Borneo, Sabah dan Sarawak termasuk Kalimantan serta Brunei mempunyai sekurang-kurangnya 3,000 spesies orkid yang bersamaan dengan 10 hingga 15 peratus orkid di seluruh dunia.

Kini juga lebih sejuta orkid hibrid ditanam di seluruh dunia dengan 120,000 didaftarkan di bawah Royal Horticultural Society (RHS), iaitu pertubuhan sah bagi pendaftaran hibrid orkid di United Kingdom.

Orkid bernilai tinggi

Pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM, Prof Dr Rusea Go, yang menjalankan kajian berkaitan orkid, berkata tumbuhan itu dikenali sejak berzaman sebagai tanaman hiasan sangat bernilai.

Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi.

“Yang menjadikan ia mahal adalah keistimewaan bentuk, warna dan jangka hayat bunganya yang panjang memberikan nilai estetika,” katanya.

Rusea yang digelar ‘Ratu Orkid’, berkata kualiti orkid menjadikan tanaman industri itu sangat

menguntungkan.

Memberi contoh orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.

Mengapa ia sangat mahal? Kata beliau orkid yang terhadap di Sabah, dikatakan mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan. – BH, Gambar BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *