Kastam Sabah rampas rokok seludup bernilai hampir RM2 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 100,500 bungkus rokok seludup pelbagai jenama bernilai hampir RM2 juta di Jalan Lama Penampang-Papar, Lebuhraya Pan Borneo, dekat sini Sabtu lepas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Cheong Yu Min berkata rampasan dilakukan Pasukan Penguatkuasaan Cawangan Operasi Kota Kinabalu selepas menahan sebuah lori tiga tan dalam operasi kira-kira 3.40 petang.

Beliau berkata operasi hasil maklumat orang awam itu turut menahan dua lelaki berusia 26 dan 62 tahun.

“Kesemua 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki tidak berkastam itu dianggar bernilai RM139,100 manakala duti dan cukai terlibat dianggar RM1.86 juta dengan keseluruhannya dianggar bernilai RM1.99 juta. Lori tiga tan yang turut disita dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya modus operandi individu terlibat adalah mengangkut barang-barang tidak berkastam dengan menggunakan lori tiga tan jenis bonded truck bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Cheong berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 manakala rokok tersebut dipercayai untuk pasaran sekitar Kota Kinabalu dan daerah lain.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dalam aktiviti penyeludupan selain menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855atau Pejabat Kastam terdekat sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *