‘Final Award’ tuntutan waris Sultan Sulu tak jejas kedudukan Sabah
KUALA LUMPUR: ‘Final Award’ berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu yang dikeluarkan dalam prosiding timbang tara di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis mengikut Konvensyen New York baru-baru ini tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia beberapa kali menegaskan tidak mengiktraf mahu pun melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 September1963.
“Ingin ditegaskan, Kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan berkenaan,” katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata, berkata keputusan ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol, mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kedaulatan Pulau Pisang di Johor tidak dipertikaikan Singapura dan lokaliti itu adalah hak milik Malaysia.
Beliau berkata, Singapura turut mengiktiraf hak kedaulatan itu berdasarkan perjanjian dimeterai antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Oktober 1900.
“Hanya pengurusan rumah api di sana berada di bawah pengurusan dan pentadbiran ‘Maritime and Port Authority of Singapore’.
“Malaysia mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap Pulau Pisang dan pekerja di rumah api itu perlu mendapat kebenaran negara serta perlu melalui laluan imigresen Malaysia di Kukup, Johor untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan,” katanya.
Mengenai keselamatan pejabat dan kakitangan kedutaan di luar negara, beliau berkata, kerajaan sama sekali tidak berkompromi berhubung isu itu, selain bersedia melakukan proses evakuasi jika perlu.
“Pada waktu sama dari semasa ke semasa kita juga menaik taraf sistem keselamatan pejabat perwakilan Malaysia di luar negera, contohnya seperti kamera litar tertutup, kad akses dan pendaftaran pelawat,” katanya.
Menyentuh konflik Russia-Ukraine, Saifuddin berkata, Malaysia sudah menyatakan pendirian di pelbagai peringkat untuk sentiasa berkecuali, namun sentiasa menghormati hak kemerdekaan sesebuah negara dan integriti sempadan. -BH