Kerajaan negeri benarkan pengembara dari Brunei memasuki Sabah ketika PKPB
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi kebenaran pengembara dari negara Brunei Darussalam memasuki Sabah sama ada menerusi jalan darat atau udara ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun telah memperincikan garis panduan yang harus dipatuhi oleh pengembara dari Brunei masuk ke negeri ini.
“Pengembara dari negara tersebut juga akan tertakluk kepada syarat menjalani ujian saringan tiga hari sebelum perjalanan sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP PKPB Sabah.
“Keputusan ini dibuat memandangkan negara Brunei tidak termasuk dalam senarai 23 buah negara yang disekat kemasukan ke Malaysia.
“Saya juga turut difahamkan Brunei tidak mencatatkan kes baharu sejak tujuh bulan lepas.
“Langkah ini juga dijangka dapat merancakkan sektor ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sabah secara dalam talian, hari ini.
Sementara itu, Masidi turut berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan kemasukan pengembara dari negara lain yang tidak tersenarai dalam 23 negara yang disekat masuk ke Malaysia dari semasa ke semasa.