Program BAIK : Tepat dan sesuai – Arifin

KOTA KINABALU : Usaha Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan dengan melaksanakan Program Bantuan Ehsan Komputer (BAIK) Fasa 1 adalah satu keputusan yang sangat tepat, tegas Datuk Seri Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

“Program Bantuan Ehsan Komputer (BAIK) Fasa 1 kepada pelajar-pelajar Miskin Tegar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) seperti diumumkan oleh YAB Ketua Menteri baru-baru ini adalah sangat tepat.”

Pelajar yang mendapat bantuan komputer riba ini bukan sahaja untuk kegunaan pembelajaran di peringkat sekolah menengah tetapi boleh digunakan semasa masuk di peringkat pengajian tinggi.

“Ini adalah kerana keputusan kerajaan untuk memilih pelajar SPM dan STPM ialah bukan saja untuk membolehkan mereka menggunakan komputer tersebut untuk program Program Belajar dari Rumah(PBdR) tetapi juga boleh digunakan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) kelak.”

“Bagaimanapun, jumlah 10,000 unit yang melibatkan peruntukan sebanyak RM15 juta, sudah pasti tidak mencukupi. Berdasarkan data yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, jumlah keseluruhan pelajarĀ  Miskin Tegar yang mengambil SPM, STPM dan STAM tahun ini adalah sekitar 19,000 orang, manakala bilangan dibawah B40 adalah sekitar 37,000 orang pelajar,” katanya

“Program BAIK ini selari dengan tujuan program Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan mengagihkan 150,000 komputer di seluruh Malaysia dalam membantu pelajar. Adalah difahamkan dari jumlah tersebut, sebanyak 29,000 buah akan diagih kepada pelajar di Sabah yang mensasarkan pelajar-pelajar Tingkatan 3 (sekolah Menengah) dan Tahun 4 (sekolah Rendah). Dan sudah pasti jumlah 29,000 ini juga tidak mencukupi untuk menampung semua pelajar di seluruh Sabah.” Jelasnya lagi

“Dengan inisiatif daripada Kementerian Pendidikan dan juga inisiatif daripada Kerajaan Negeri, maka tepat dan sesuailah sasaran kerajaan. Pemberian komputer oleh Kerajaan Negeri ini sangat bermanfaat untuk pelajar di Sabah.”

“Saya juga telah membuat jelajah ke sebahagian besar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mereka memberi respon yang baik terhadap inisiatif kerajaan bagi membantu pelajar dari keluarga kurang mampu.”

“Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas turut menyelaras beberapa inisiatif untuk pelajar di Sabah, termasuklah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one off (BUDI) sebanyak RM2000 kepada pelajar tahun pertama ijazah IPT, dikalangan keluarga pelajar yang pendapatan RM5000 kebawah.”

“Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu bantuan tunai RM200 kepada pelajar yang mengambil SPM, STPM dan STAM tahun 2021 yang melibatkan 37,835 pelajar.”

“Bantuan Ehsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAK)- melibatkan bayaran one off RM300 kepada semua pelajar Sabah yang terperangkap di kampus di seluruh IPT dan Institusi seluruh negara yang melibatkan sekitar 4000 pelajar yang telah memohon bantuan tersebut.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *