Kerajaan negeri Sabah pastikan rakyat dapat manfaat pembangunan, kemakmuran

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda berkata kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa memastikan rakyat mendapat manfaat pembangunan dan kemakmuran.

Menurutnya, mandat yang diberikan oleh rakyat adalah amanah yang dipikul oleh GRS untuk terus memberikan khidmat dan membawa perubahan kepada rakyat khasnya dari segi pembangunan dan keharmonian komuniti di negeri ini.

“Pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita (GRS) berjaya melakukan agihan kemakmuran dan pembangunan secara saksama kepada semua rakyat Sabah dan ini dapat membantu mereka hingga kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan.

“Inilah yang kita (GRS) usahakan dan saya mahukan yang terbaik untuk semua rakyat Sabah kerana ia adalah hak rakyat yang semestinya dan sewajarnya disempurnakan,” katanya selepas penyerahan Rumah Sentuhan Kasih di Bandau, semalam.

Wetrom yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau turut memberitahu bahawa kemudahan asas seperti perumahan adalah antara yang menjadi fokus beliau dalam membawa perubahan kepada penduduk di kawasan itu.

“Kita amat berharap, untuk memberikan lebih banyak bantuan khasnya bagi tujuan baik pulih perumahan dan memberikan kemudahan asas. Kerana ini merupakan keperluan asas dan keselesaan kepada rakyat serta keselamatan mereka adalah fokus kepada usaha saya untuk kawasan ini khususnya di Bandau.

“Kita juga mahu golongan yang memerlukan ini, dibantu dan kita sekaligus mampu menjadi membina sebuah komuniti yang harmoni, selamat dan selesa,” katanya.

Wetrom juga berkata masalah perumahan rakyat khasnya di kawasan itu adalah masalah yang dibangkitkan oleh rakyat dan ia adalah amat merungsingkan.

“Rakyat meluahkan permasalah mereka dan sebagai wakil rakyat yang diberikan mandat oleh mereka, pastinya saya mesti memberikan segala usaha yang terbaik untuk membantu mereka menyelesaikan permasalah mereka, iaitu perumahan.

“Saya perhatikan sejak beberapa bulan lepas, memang banyak rumah penduduk misalnya di Kampung Kerongkom, amat uzur dan selayaknya mereka dibantu untuk membina perumahan baharu, dan membaik pulih mana-mana perumahan yang memerlukan pembaikan,” katanya.

Tambah beliau, kekangan terbesar kerajaan adalah untuk menyalurkan peruntukan bagi tujuan membina kawasan perumahan di setiap parlimen.

“Namun ini tidak boleh dijadikan alasan dan halangan untuk saya dan untuk ini saya usahakan satu inisiatif baharu bagi mengatasi masalah ini di Dun ini.

“Dengan tenaga yang digembeling oleh insan-insan prihatin dan badan-badan bukan kerajaan, yang turut sama berganding bahu dalam usaha Rumah Sentuhan Kasih Dun Bandau ini, pastinya projek rintis yang saya mulakan pada awal Januari lalu mampu direalisasikan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha itu akan diteruskan untuk membantu rakyat yang amat memerlukan bantuan dari segi tempat kediaman.

“Saya berharap, usaha murni ini akan mendapat perhatian lebih ramai pihak, untuk kita bergerak bersama, menghulurkan kudrat kita, membantu mereka yang memerlukan kerana sememangnya kerjasama antara kerajaan dan pihak perseorangan, badan-badan bukan kerajaan dan semua pihak lain adalah antara faktor kejayaan yang bakal memberi manfaat kepada rakyat,” ujar beliau lagi.

Jaintye Dakun, 40 tahun, ibu tunggal, yang tinggal bersama lima anak adalah penerima pertama Rumah Sentuhan Kasih Dun Bandau, yang mana sebelum ini beliau bersama anak-anak hanya tinggal di sebuah pondok usang selama lebih tiga tahun. Pembinaan rumah sentuhan kasih adalah daripada peruntukan ADUN Bandau.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *