Tabung Pendidikan Negeri Sabah dilancar bulan depan – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, penubuhan TPNS itu bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam atau luar negara.

Katanya, penubuhan TPNS adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.

“Usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Ini termasuklah menyumbang sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam di Sabah.

“Dalam Belanjawan Sabah 2022, Kerajaan turut memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang melibatkan 289,204 murid dengan peruntukkan sebanyak RM13.9 juta.

Kerajaan meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan diperkenalkan pada tahun 2021 termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) serta Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM17.5 juta.

Setakat ini seramai 5,000 pelajar mendapat bantuan BUDI dan seramai 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada tahun lalu.

Hajiji berkata, kerajaan memperkenalkan bantuan dana bagi lebih 1,500 PIBG sekolah di Sabah dalam inisiatif yang dinamakan BAGUS dan bantuan bagi peralatan komputer di sekolah-sekolah yang dinamakan BISBAH.

“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam sejumlah RM47 juta diperuntukkan untuk badan agama bukan Islam serta untuk sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di Sabah pada tahun ini.

“Ini mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga,” katanya. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *