7 Buah rumah atas air di Kampung Panji musnah terbakar

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 7 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Panji Semporna petang tadi. Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.00 petang itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat(PPM) N.65 Senallang YBhg. Tuan Adam Shah Bin Mohammad bersama kakitangan Unit PPM Senallang bergegas ke tempat kejadian bagi meninjau dan memantau penugasan anggota BOMBA dalam memadamkan kebakaran agar tidak merebak.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang dan terus bergegas bersama jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Anggota bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal kira-kira pukul 8 malam. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, satu Mesyuarat Khas Bencana Kebakaran Kg Panji telah dijalankan dan dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Juraimin bin Haji Jadil, Pegawai Daerah Semporna. PPM Senallang turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan dan memuktamadkan penempatan sementara mangsa kebakaran, selain makan minum, bekalan air dan elektrik.

Semoga mangsa kebakaran tabah dengan dugaan yang melanda dan ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *