Turun padang dekati golongan muda – Japlin
KOTA BELUD: Armada bersama Srikandi perlu berganding bahu mendekati golongan muda sebagai usaha mendengar pandangan mereka dalam menentukan dasar kerajaan.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim berkata, langkah itu perlu memandangkan mereka merupakan pelapis kepada kepimpinan negara di masa depan.
Katanya, tidak dinafikan suara serta pandangan generasi Y begitu penting dalam menentukan kelangsungan hidup Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang.
“Kita perlu mengambil inisiatif untuk mendekati generasi Y ini memandangkan mereka ini adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan maklumat di media sosial tanpa soal selidik.
“Oleh itu, Armada serta Srikandi perlu memainkan peranan penting untuk mendengar pandangan menarik generasi muda sekali gus menepis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Free Fire Terbuka Kota Belud di Kuala Abai di sini semalam.
Pertandingan Free Fire terbuka Kota Belud merupakan anjuran Persatuan Belia Kuala Abai Kota Belud.
Sebanyak 75 kumpulan dimana setiap kumpulan disertai 4 orang telah menyertai pertandingan ini.