Lori trailer langgar kenderaan guru, rempuh pondok bas

TAWAU : Seorang guru mengalami detik cemas selepas kenderaannya dilanggar sebuah lori trailer di hadapan Kem Tentera di Jalan Kubota, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6.05 pagi semasa guru terbabit menuju ke sekolah, manakala, pemandu lori pula dari arah Taman Anson menghala ke Jalan Chong Thien Vun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit yang keluar dari simpang jalan keluar memasuki bulatan telah terlanggar kenderaan mangsa yang sedang melalui bulatan dari arah kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah pondok bas yang berada di tepi jalan keluar Kem Tentera di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari kecuaian pemandu lori trailer yang gagal memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan mangsa. 

“Impak kemalangan itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian tepi sebelah kiri manakala lori trailer rosak di bahagian depan kerana merempuh pondok bas.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Rule 3 (2)(a) LN 166/59,”katanya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *