Kerajaan komited perkasa kemahiran wanita

PAPAR: Kerajaan akan terus komited dalam memperkasakan golongan wanita dengan menyediakan pelbagai kemudahan kemahiran agar mereka mampu menjana pendapatan sendiri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, program seperti Kursus Kemahiran Quick Win Dandanan Diri Solekan Profesional dan Kursus kemahiran Jangka Pendek (Seni Tangan) Chocolate Bouquet/Hamper Jabatan Kemas daerah papar 2021 mampu memberikan ruang dan peluang kepada golongan wanita bagi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Ini adalah program lanjutan daripada kementerian ini yang dilakukan sebelum ini, dengan memperkasakan wanita ke arah status yang lebih baik.

“Latihan kemahiran selama tiga hari ini telah dilakukan dibanyak lokasi, saya mendapati komitmen rakyat Sabah tidak kira di bandar atau luar bandar sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Dandanan Diri Solekan Profesional Profesional dan Kursus kemahiran Jangka Pendek (Seni Tangan) Chocolate Bouquet/Hamper Jabatan Kemas daerah Papar 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan mampu menambah pendapatan sampingan suri rumah khususnya, tetapi ia juga bergantung kepada kerajinan serta bakat masing-masing.

Katanya, latihan seumpamanya hanya kemahiran asas, tetapi sekiranya peserta mahukan pendedahan lebih mendapat, kerajaan boleh menawarkan mereka di pusat Giatmara atau kursus-kursus sijil yang mempunyai elemen keusahawan atau berkaitan.

Sementara itu peserta program, Dg Anisah Awg Tuah, 40, berkata, beliau sudah 11 tahun mengikuti latihan yang ditawarkan oleh KEMAS dan kini seorang jurusolek dan pengamal urutan tradisional.

Beliau juga bernaung di bawah Hospital Daerah Papar khususnya dalam memberikan rawatan kepada pesakit berpantang.

“Kemahiran yang saya terima adalah semua dari KEMAS, saya hanya mengambil peluang yang disediakan kerajaan dan kini saya mampu bergerak sendiri.

“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan latihan seumpama ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Dg Nisyyah Nabilah Asman, 22, turut berterima kasih kepada kerajaan khususnya KEMAS yang sering mengadakan latihan kemahiran.

Beliau menerima latihan membuat hiasan bunga dan coklat dan kini sudah pun melakukan kerja sampingan itu.

“Pesanan sangat baik dari kalangan pelanggan, sekiranya berjaya nanti, saya berhasrat membuka kedai sendiri,” katanya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *