Media main peranan penting

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri mengiktiraf media arus perdana sebagai salah satu rakan penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, media merupakan penghubung antara kerajaan dan rakyat melalui perkongsian maklumat dan fakta yang tepat melalui karya penulisan.

Katanya, pada masa ini platform media sosial telah disalahguna untuk menyebarkan berita palsu selain perkara yang tidak benar.

“Kewartawanan yang baik memainkan peranan penting dalam masyarakat selain dapat mempengaruhi pemikiran rakyat melalui pelaporan dan mengubah landskap politik sesebuah negara.

“Sehubungan itu, wartawan perlu bijak melaporkan dan saya gembira media di negeri ini menjalankan tugas dengan baik dan dedikasi. Paling penting, media telah menghasilkan liputan berita secara bertanggungjawab dan profesional,” katanya,

Beliau berkata demikian pada Kinabalu Press Award (KPA) anjuran Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan kerjasama Kerajaan negeri, Shell Malaysia dan PETRONAS disini malam ini.

Hajiji berkata, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) merupakan komitmen kerajaan untuk membangunkan negeri ini selain kebaikan untuk rakyat.

“Kami berharap media akan meneruskan peranannya untuk melaporkan agenda pembangunan kerajaan,” katanya.

 Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri bimbang dengan penutupan syarikat akhbar seperti New Sabah Times dan pemberhentian pekerja sebagai langkah penjimatan kos.

“Saya juga sedar bahawa media arus perdana khususnya media cetak terus berjuang dalam menghadapi peredaran masa selain pengiklanan yang berkurangan disebabkan kehadiran media sosial serta diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19.

“Saya dimaklumkan lebih 70 petugas media di Sabah telah kehilangan pekerjaan atau berdepan gaji dipotong tahun ini sahaja

“Saya menggesa syarikat media (di Sabah) untuk mengekalkan pekerja mereka sambil melihat semula model perinatal media seperti yang dilakukan oleh media di seluruh dunia. Saya juga percaya ia merupakan perniagaan yang menguntungkan dan ia adalah soal pengisian kandungan untuk menarik pembaca dan pengiklan,”katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sejak dua tahun lalu merupakan tempoh mencabar untuk semua apabila berdepan dengan pandemik COVID-19.

 “Kita semua pernah mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan dan kita semua telah berkorban sepanjang tempoh itu.  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyukarkan sedikit pergerakan namun ia telah memaksa kita melakukan sesuatu yang berbeza dalam norma baharu.

“Namun ini semua telah mengajar kita untuk lebih bertahan.  Kita masih belum menang tetapi saya percaya kita perlu mula bekerja.  Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan

 kesan negatif pandemik COVID-19 dan untuk merangsang semula pertumbuhan ekonomi kita.

“Kita yakin pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan memacu usaha pemulihan ekonomi di Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berasa gembira kerana Shell Malaysia dan Petronas terus memberi sokongan kepada SJA khususnya dalam penganjuran KPA.

“Dengan komitmen Kerajaan Negeri dan rakan strategik Petronas dan Shell Malaysia, saya yakin SJA akan dapat meneruskan penganjuran acara berprestij ini,”katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri menambah sumbangan tahunan kepada KPA sebanyak RM100,000 berbanding RM60,000 sebelum ini.

Ia adalah bagi mengiktiraf peranan media dalam pembangunan negara dan negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.