Jadikan Sabah sebagai hab operasi penerbangan

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan dijemput untuk menjadikan Sabah sebagai operasi mereka khususnya apabila sempadan negara dijangka buka tidak lama lagi.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, potensi dan rekod prestasi Sabah harus dijadikan semangat pembakar bagi semua pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama bagi mengenal pasti serta merebut peluang baharu untuk menggiatkan semula industri pelancongan antarabangsa.

โ€œSebelum pandemik COVID-19, Sabah boleh diakses melalui penerbangan terus dari 20 bandar antarabangsa utama dengan lebih 220 penerbangan setiap minggu, terutamanya dari rantau Asia Utara.

โ€œSelain itu, terdapat lebih 400 penerbangan domestik yang menghubungkan 10 destinasi di Malaysia. Memandangkan banyak negara membuka sempadan mereka mulai Mac, kami percaya Malaysia akan turut serta tidak lama lagi,โ€ katanya pada majlis makan malam bersama Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di sini, pada Jumaat.

Joniston yang juga Pengerusi STB yakin bahawa industri pelancongan antarabangsa akan pulih, walaupun tidak sama seperti sebelum ini.

Katanya, penyertaan dan sokongan syarikat penerbangan adalah penting untuk membantu mempromosikan negeri ini serta mewujudkan semula kerjasama bagi akses baharu ke Sabah.

Sementara itu, Pengerusi AOC, Mohamad Azri Mohammad Rashad berkata, penerbangan Air Asia, Malindo Air, dan MAS bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu mencatatkan muatan pesawat yang tinggi.

โ€œSejak beberapa minggu lalu, kebanyakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mempunyai 70-80 peratus muatan. Ia adalah angka yang agak tinggi.

โ€œMalah bagi Sabah, terdapat tiga sehingga empat penerbangan dalam sehari berbanding Johor Bahru, Alor Setar, Kota Bharu dan Terengganu. Jadi, saya berasa berbesar hati berada di sini, dan pada masa sama, kami mahu terus merangsang ekonomi,โ€ katanya. -Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *