Jahid gesa rakyat jangan ambil mudah langkah pencegahan COVID-19

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah langkah pencegahan wabak COVID-19 dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya merayu kepada semua agar serius mematuhi arahan dan SOP yang telah ditetapkan, kerana pandemik COVID-19 ini bermula dengan kita dan seharusnya berakhir dengan kita,” katanya.

“Dengan mematuhi SOP secara maksima, maka risiko jangkitan virus COVIS-19 akan dapat dikurangkan, dan seterusnya memutuskan rantaian pandemik tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan program penyerahan bantuan kepada petugas barisan hadapan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) dengan kerjasama syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad di perkarangan hadapan Pejabat Daerah Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Penampang, Henry Idol, Pengarah Urusan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau dan Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Moyog, John Chryso Masabal.

Menurutnya, penularan virus itu berlaku tanpa disedari di mana walaupun di kampung itu mungkin nampak tenang, tetapi keadaan berubah sekelip mata kerana virus tersebut boleh datang tanpa diundang.

Jahid, yang juga ADUN Tamparuli, mengingatkan kepada masyarakat setempat untuk mengelakkan aktiviti sosial, terutama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana apabila terleka, amalan SOP, terutamanya penjarakan sosial, akan terlepas pandang.

“Pematuhan SOP ini penting bagi meredakan pandemik COVID-19 dengan segera agar ekonomi negara dapat dipulihkan dan digerakkan semula demi kebaikan rakyat,”.

“Justeru itu, saya benar-benar berharap kita semua, termasuklah diri saya sendiri, akan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.”

Mengulas mengenai kemungkinan penyebab jangkitan adalah menerusi kunjungan ke acara kematian dan majlis perkahwinan, serta majlis keramaian berhubung kait tradisi dan sebagainya pula, beliau berpendapat bahawa sekiranya majlis itu diadakan dengan mengambil kira SOP semaksima yang mungkin, tentunya penularan virus dapat dibendung.

Beliau memberi contoh yang telah diamalkan oleh sebuah keluarga ketika perayaan sambutan Krismas lalu, di mana mereka telah mengadakan proses penggiliran tetamu yang hadir, dengan menghadkan pengunjung datang bertandang pada waktu petang dan malam, dan hari berikutnya.

โ€œLangkah seperti ini bioleh dipraktikkan. Kita harus memberitahu diri kita bahawa ini mampu dilakukan, dan kita berbuat demikian demi menjaga kepentingan keluarga kita, dan masyarakat, secara keseluruhannya,” ujar Jahid.

Dalam pada itu, Jahid juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) agar tampil memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha mereka bergelumang dengan risiko tinggi membanteras pandemik Covid-19.

Katanya, bagi pihak kerajaan, beliau menghargai sumbangan dari KTC Consolidated Berhad,  diketuai Dexter, dibantu oleh Sylvia Pius Laban dan Sifera Kodoh dari Better Bets Project, dan usaha mereka amat bermakna kepada para petugas hadapan.

Sebanyak 5,000 bun jenis Creamos disampaikan kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, APM, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menerusi Pejabat Daerah Penampang.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *