Premis penyimpanan makanan guna logo halal tanpa kelulusan diserbu

KOTA KINABALU: Sebuah premis menyimpan makanan yang menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah kelmarin.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata turut serta dalam serbuan di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) itu adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kira-kira pukul 11.00 pagi 24 Mac lalu.

“Semasa diserbu premis terbabit menyimpan produk makanan ringan yang diimport membabitkan nilai rampasan RM40,946.50. 

“Hasil pemeriksaan mendapati semua makanan ringan yang diimport ini menggunakan penandaan halal pada setiap bungkusannya yang tidak diperakui oleh badan berwibawa iaitu JAKIM,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah yang sama.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua denda RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Georgie berkata pihaknya akan terus mempergiatkan usaha untuk melindungi pengguna daripada penyalahgunaan penandaan halal oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat premis yang menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui.

Beliau juga menasihatkan semua pengusaha atau syarikat agar sentiasa memastikan setiap makanan atau produk keluaran mereka hanya menggunakan perakuan dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang. -Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *