Lebih RM10 juta zakat diagih kepada asnaf sempena Aidilfitri

MEMBAKUT : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengagihkan zakat kepada 44,474 asnaf di negeri ini melibatkan jumlah zakat sebanyak lebih RM10 juta.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, agihan itu adalah bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan akan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.

“Ramadan ini kita akan memberikan sumbangan zakat sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang melebihi Rm10 juta.

“Golongan fakir miskin termasuk saudara kita yang susah di seluruh Sabah akan turut menerima sumbangan ini dan sebahagiannya akan menerima terus dari akaun mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Forum Ramadan Saudara Kita di Dewan Sri Wawasan disini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Jabatan hal Ehwal Agala Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangol, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais, Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali, Penolong Pegawai Daerah, Ibrahim Terki dan  Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Omar Raisul Assalam Syah Sulaiman Omar.

Pada majlis itu, Mohd Arifin menyampaikan sumbangan RM200 kepada 757 asnaf fakir dan saudara kita di kawasan Membakut.

“Pada hari ini (kelmarin), kita telah menyampaikan bantuan kepada 757 orang asnaf fakir dan juga saudara kita untuk membantu mereka dalam persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang sedang diikuti 300 orang saudara kita di Membakut, Mohd Arifin berkata, usaha itu akan diinisiatif oleh MUIS, JHEAINS dan JAKIM untuk golongan saudara kita di seluruh Sabah. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.