Kerajaan Sabah bina semula jambatan gantung rosak di Nabawan – Ketua Menteri

TUARAN, 30 April : Kerajaan Sabah akan membina semula sebuah jambatan gantung di Nabawan yang rosak dan dihanyutkan dalam kejadian banjir pada bulan lepas, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed ketika diberi taklimat mengenai pembangunan daerah Tuaran hari ini. – Foto BERNAMA

“Kita ambil tindakan segera bila-bila masa kita buat yang penting pegawai daerah beli dahulu bot dan enjin sangkut, jika boleh hari ini juga kita beli dan kita sudah bagi peruntukan sebagai langkah sementara menunggu jambatan gantung siap,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini antara lain bagi membincangkan perlaksanaan program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di negeri ini.

Tular di media sosial video beberapa kanak-kanak memakai pakaian seragam sekolah menggunakan rakit dan zip line untuk menyeberangi sungai di Nabawan susulan jambatan gantung merentang sungai, yang menjadi laluan utama penduduk kampung, hanyut akibat arus sungai deras dalam kejadian banjir itu.

Khamis lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan peruntukan kecemasan kepada beberapa kampung di Nabawan yang terjejas teruk akibat banjir membabitkan pembinaan jambatan dan penyelenggaraan jalan raya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin dalam kenyataan hari ini berkata kementeriannya amat memandang berat tentang keselamatan pelajar sekolah dan akan berkerjasama dengan semua agensi terlibat bagi menyelesaikan isu tersebut.

Bagaimanapun, beliau memohon semua pihak terutama warganet supaya tidak menyalahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam isu tersebut kerana jambatan tersebut adalah sebuah jambatan awam dan tidak berada dalam kawasan sekolah.

“Apabila video pelajar sekolah itu tular seolah-olah ia adalah isu Kementerian Pendidikan, sedangkan ia tanggungjawab agensi lain, pihak kerajaan juga telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *