ATB 2 GAGALKAN SINDIKET SELUDUP ROKOK DAN TEMBAKAU DI TAWAU

TAWAU; 24 JUN 2022 (Jumaat) – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 645-karton rokok dan tembakau menerusi rondaan Op Benteng Bersama di Lorong Haji Salleh, pagi tadi. Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan rampasan tersebut adalah hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) mengesan seorang suspek lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang memasukkan bungkusan plastik hitam berisi kotak ke dalam sebuah kenderaan, kira-kira pukul 6-pagi.

Katanya, bagaimanapun suspek terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan rumah kedai dan dipercayai telah bersembunyi berhampiran kawasan kejadian. Menurut beliau, hasil pemeriksaan, kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok dan tembakau seludup yang dibawa masuk dari negara jiran Indonesia dan kegiatan turut melibatkan sindiket warga tempatan dan asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap, sekitar daerah Tawau. Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan medianya kepada pemberita.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati nilai rampasan 225-karton rokok pelbagai jenama adalah dianggarkan bernilai RM 26,775.00 manakala 420-bungkus tembakau lagi dianggarkan bernilai RM 2,520.00.Sementara itu, turut dirampas sebuah motokar dianggarkan bernilai RM 25,000.00 dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 54,295.00.

Menurutnya, semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, untuk tindakan lanjut.Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.Brigadier Jeneral Abdul Karim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Tim QRF, Tim OCP Daratan dan IPD Tawau atas gabungan kerjasama serta sokongan pelaksanaan operasi tersebut. Menurut beliau lagi, kerjasama erat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada ditahap yang terbaik melalui pemantauan berterusan dan pengkongsian maklumat antara agensi keselamatan lain dengan lebih efektif bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah. sumber – #ATB2

Leave a Reply

Your email address will not be published.