Peruntukan hampir RM1 bilion dalam Belanjawan Sabah 2021 akan dimanfaatkan sepenuhnya

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diperuntukkan dalam Belanjawan Sabah 2021 bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya keperluan infrastruktur.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata walaupun jumlah peruntukan mengalami penurunan tetapi pihaknya akan memastikan penggunaan peruntukan akan digunakan sebaik mungkin.

“Kementerian saya mendapat hampir RM1 bilion peruntukan dan walaupun ia merupakan jumlah besar tetatpi saya melihat ada penurunan (dari segi jumlah) dan penurunan ini disebabkan oleh beberapa kemungkinan.

“Walau bagaimanapun, kita akan memaksimakan penggunaan peruntukan itu untuk memastikan bahawa apa yang juga telah dirancang akan dapat dilaksanakan.

“Apa yang penting pada saya, penyampaian itu harus dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan yang sedia ada. Tidak guna peruntukan banyak tetapi implementasinya menurun,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri itu berkata pihaknya juga akan turut memastikan implementasi dibeberapa sektor di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya Sabah akan dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Semua akan diambil kira sama ada jalan raya, jalan bandar dan sebagainya sebab kita akan melihat keperluan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 mengumumkan agihan peruntukan Anggaran Perbekalan untuk Kementerian Kerja Raya Sabah berjumlah RM762.00 juta.

Manakala agihan peruntukan Anggaran Pembangunan Negeri berjumlah RM233.69 juta.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *