Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah sambut baik peruntukan RM120.85 juta dalam Belanjawan Sabah 2021

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menyambut baik peruntukan berjumlah RM120.85 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan Sabah 2021, semalam untuk kementerian yang dikendalikannya.

Beliau ketika ditemui media selepas pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam berkata peruntukan terbabit disalurkan untuk
Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal bagi pembangunan prasarana dan kemudahan seperti Kompleks Islam, masjid, surau, tadika dan sekolah agama serta rumah anak yatim.

“Semua ini akan menjadi fokus kita pada tahun 2021 nanti. Mana-mana sekolah atau masjid yang perlu kerja membaik pulih atau pembinaan baru, kita akan lihat semua keperluan itu termasuk prasarana pendidikan.

“Selain itu, kita juga turut bersyukur dengan pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berhubung dengan pelajar SPM, STPM dan STAM diberikan bantuan untuk peperiksaan mereka serta bantuan ‘one-off’ bagi pelajar yang akan menjejakkan kaki ke universiti.

“Ini satu inisiatif baru yang perlu kita sokong dan ini juga menggembirakan ibubapa dan pelajar,” katanya.

Semalam, Hajiji yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 mengumumkan selain peruntukan diberikan untuk pembangunan prasarana dan kemudahan untuk institusi di bawah Menteri Tugas-Tugas Khas, kerajaan negeri juga turut memperuntukkan dana kepada institusi serta sekolah bukan Islam.

Katanya, sejumlah RM43.0 juta
diperuntukkan untuk pembangunan badan keagamaan, sekolah persendirian bukan Islam dan sekolah mubaligh.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM12.0 juta pada tahun hadapan sebagai bantuan kepada anak-anak Sabah yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar Tingkatan Lima dan
Tingkatan Enam yang akan menghadapi peperiksaan.

Bantuan terbabit terdiri daripada dua kategori iaiti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara ‘one-off’ berjumlah RM2,000 seorang untuk kemasukan kali pertama ke IPT.

Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) sebanyak RM200 seorang juga turut diberikan bagi pelajar yang akan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM), semester akhir Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM bagi penghujung tahun 2021.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *