Kerajaan negeri Sabah laksana usaha kutip cukai jualan negeri produk petroleum sejak 2014
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah melaksanakan usaha mengutip cukai jualan negeri (CJN) terhadap produk petroleum yang bakal diterima kerajaan Sabah pada tahun hadapan sejak tahun 2014 lagi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ia telah bermula dengan kajian berkenaan cukai jualan negeri ditelitim
“Untuk makluman, sejak tahun 2014, satu Kajian iaitu Study on the State Sales Tax: Current Administration and Future Prospects telah dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan Negeri dengan melantik Ernst & Young (E&Y) sebagai konsultan.
“Kajian ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun yang sama, dan telah dipersetujui secara prinsip untuk dimulakan rundingan bagi pelaksanaan Cukai Jualan Negeri bagi Produk Petroleum.
“Selanjutnya, saya fikir perlu juga dimaklumkan dalam Dewan Yang Mulia ini, bahawasanya, PETRONAS telah mendaftar dan dilesenkan di bawah Cukai Jualan Negeri (CJN) HANYA pada 15 Disember 2020, iaitu lapan bulan selepas tempoh kuat kuasa, dan bila mana Kerajaan Negeri dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah dan Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional.
“Sehubungan dengan itu, jika ada pihak mahukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berterima kasih atas kejayaan usaha mendapatkan kutipan cukai itu, ia perlu membabitkan semua pihak bermula pada 2014,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 bagi Kementerian Kewangan negeri pada persidangan bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan walaupun cukai terbabit diwartakan pada tahun 2018 dan dikuatkuasakan pada 1 April tahun ini, proses itu bermula lama lebih awal selain belum lagi selesai sehingga Sabah menerima bayaran setiap tahun.
“Mengapa saya memilih untuk menerangkan perkara ini dengan lanjut? Ini kerana bagi saya sekiranya ada Ahli Yang Berhormat meminta kita berterima kasih dan memberikan pengiktirafan atas pengenalan Cukai Jualan Negeri Ke Atas Produk Petroleum, kerajaan negeri perlu merakamkan ucapan penghargaan buat semua yang terlibat sejak tahun 2014 bukan sahaja PETRONAS mendaftar CJN, tetapi sehingga kita menerima pembayaran berterusan.
“Perlu juga ditegaskan bahawa kita harus merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menunaikan komitmen memastikan PETRONAS melunaskan hak dan kepentingan rakyat serta negeri Sabah.
“Sekalung penghargaan juga diucapkan buat semua penjawat awam yang telah terlibat dalam usaha dan perjuangan ini sejak dari awal,” katanya.