ADUN Pintasan gesa semua pihak perkasa jalin kerjasama tangani COVID-19

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan menggesa kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Dalam Negara (MKN) Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk terus memperkasakan jalinan kerjasama dalam menangani pandemik COVID -19.

Katanya, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah sebelum ini terkawal namun kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) melalui jalan tikus menyebabkan Sabah mengalami peningkatan kes secara mendadak.

“COVID-19 hampir berjaya dikawal namun kerana kemasukan PATI melalui jalan tikus, pandemik ini kembali mencanak naik dan menjejaskan ekonomi rakyat, sekaligus membawa banyak masalah.

“PATI mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat kita kerana membawa COVID-19 kembali ke negeri kita dan kerana ini benteng pertahanan di sempadan perlu kita perketatkan serta digandakan demi menjamin kesihatan, keselamatan rakyat dan negeri serta negara kita yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2021 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Fairuz turut meminta agar kawalan di pintu masuk negara oleh semua kakitangan keselamatan perlu digandakan termasuk di Pusat Tahanan Sementara (PTS) kerana PATI yang masuk ke negara kita, ditempatkan di pusat itu dan berpotensi untuk menyebarkan virus COVID-19 kepada kakitangan yang berkhidmat di pusat tahanan.

“Tempiasnya terkena pada pegawai dan kakitangan yang berkhidmat serta berurusan dengan PATI yang tidak kita undang,” tegasnya.

Fairuz turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan keras kepada sesiapa yang mengabaikan prosedur standard operasi (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

“Ambil tindakan keras terhadap pelaku yang cuba mengambil ringan usaha kerajaan dalam menangani wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut menambah hujah dengan mendesak semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta untuk tampil membantu dalam apa juga bentuk bantuan.

“Kita sama-sama harus berganding bahu bagi menyelesaikan pandemik ini dan bergerak sederap bagi memulihkan keadaan agar kita dapat melihat semua rakyat tidak lagi hidup dibelenggu ketakutan,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *