Situasi ‘set piece’ kelebihan Sabah FC

KOTA KINABALU: Kelebihan Sabah FC menyudahkan situasi bola mati atau ‘set piece’ dengan baik diakui faktor utama kemenangan pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas, malam tadi.

Sabah yang pada mulanya ketinggalan 1-0 selepas dibolosi pada minit tambahan separuh masa pertama bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-71, disusuli satu lagi gol berselang tujuh minit kemudian menjadikan keputusan bertukar 2-1.

Kedua-dua gol Sabah diledakkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menerusi tandukannya, masing-masing dari bola hasil sepakan sudut dan tendangan percuma yang dilakukan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain, mengakui situasi pasukannya malam tadi bertukar sejurus Sabah mendapat peluang bola mati yang berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

“Secara keseluruhannya, persembahan TFC agak baik, kita dapat mengawal situasi dan mendapat rentak permainan selepas 20 minit bermain.

“Cuma kelekaan sedikit menyebabkan kita dibolosi dua gol dan kita tahu ‘set piece’ adalah kelebihan Sabah. Jadi sudah tentu kita kecewa apabila tewas kerana sepatutnya kita boleh bawa pulang mata.

“Sabah menggunakan kelebihannya dalam situasi ‘set piece’, dan kita leka di situ,” katanya mengulas aksi kedua-dua pasukan selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, Kim Swee mengakui situasi bola mati memang menjadi keutamaan pasukannya untuk mencipta gol termasuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Jadi kita harus mengekalkan apa yg kita lakukan dan yang penting pemain menunjukkan satu semangat juang tinggi terutama dalam separuh masa kedua untuk cuba kembali mendapatkan gol pertama dan seterusnya berjaya mendapat gol kemenangan,” katanya.

Sebelum jaringan penyamaan pada minit ke-71 malam tadi, katanya pasukannya berada dalam tekanan kerana ketinggalan 1-0 di tangan TFC selain gagal melakukan penyudah dengan sempurna meskipun mempunyai peluang yang baik untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Berikutan kemenangan malam tadi, Sabah FC kekal di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 25 mata menerusi 12 perlawanan, berada di belakang Johor Darul Ta’zim yang mengutip 26 mata dalam 10 perlawanan setakat ini. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *