Sabah terus hambat JDT
KUALA LUMPUR: Sabah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Petaling Jaya (PJ) City 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Sabah yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk kapten, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali tampak bergelut pada babak pertama dengan PJ City dilihat lebih banyak melakukan serangan berbahaya.
Selepas setengah jam permainan berlangsung, Darren Lok berjaya meletakkan PJ City di depan selepas penyerang kebangsaan itu menanduk masuk bola sepakan sudut V Ruventhiran pada minit ke-34.
Namun, entah apa yang diperkatakan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee di bilik persalinan kepada barisan pemain Sabah apabila menyaksikan permainan berbeza ditampilkan skuad Sang Badak sebaik bermula babak kedua.
Hasilnya, Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah Taiki Kagayama yang melakukan tindakan susulan selepas percubaan Nazirul Naim Che Hashim diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-48.
Tindakan Kim Swee membawa masuk Irfan Fazail juga berhasil apabila dia bijak menampan masuk bola hantaran seorang lagi pemain gantian, Maxsius Musa pada minit ke-75, sekali gus menjadi gol kemenangan Sabah.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah terus mengejar pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul 28 mata, hanya satu mata di belakang Harimau Selatan. -BH