Sabah perlu menang untuk kejar JDT
Dua pasukan jiran, Sabah dan Sarawak United akan membuat perhitungan dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Atas kertas, kelebihan jelas milik Sabah dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berada pada prestasi terbaik musim ini dan berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok dua teratas.
Ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad Sang Badak sangat memerlukan kemenangan ke atas Sarawak United untuk terus mengejar Harimau Selatan.
Namun, Sabah dijangka tidak akan berdepan tugas mudah kerana Sarawak United ketika ini sudah semakin bangkit daripada prestasi hambar pada awal musim.
Justeru, walaupun Sarawak United berada dalam kelompok tiga terbawah, namun anak buah Kim Swee tetap perlu lebih berwaspada supaya tidak terjerat di gelanggang sendiri.
Satu lagi pasukan yang mula menunjukkan kebangkitan, Sri Pahang akan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk berdepan Petaling Jaya (PJ) City.
Skuad Dollah Salleh sudah pasti sedang mencari mangsa mereka yang seterusnya selepas berjaya merekodkan dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) dan Selangor 2-0 di Stadium Darul Makmur, sebelum ini.
Skuad Tok Gajah bagaimanapun, tetap memerlukan strategi terbaik kerana PJ City boleh dianggap sebagai pasukan yang mampu melakar kejutan walaupun tidak mendapat sentuhan pemain import.
Malah, dalam tiga pertemuan terakhir di gelanggang PJ City, Sri Pahang tewas semua perlawanan itu dan ketika aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, April lalu juga kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Rekod itu mungkin dianggap sebagai sejarah, tetapi ia juga boleh dijadikan ‘peringatan’ untuk Sri Pahang tidak mengambil mudah keupayaan anak buah P Maniam.
sumber : BH