Sabah catur strategi jumpa Pahang

Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau mungkin akan melakukan sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya bagi menghadapi Sri Pahang FC di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Katanya, perubahan itu mengambil kira strategi pasukan selain membuat penggiliran pemain berikutan jadual perlawanan yang padat.

“Ya mungkin saya akan lakukan sedikit perubahan sesuai dengan ‘game plan’ kita dan juga untuk ‘rotasi’ kerana kita pastinya mahukan pemain yang benar-benar cergas.

“Persiapan pasukan bagi menghadapi Sri Pahang FC berjalan baik, kami telah berlatih di padang hari ini (semalam) dan mudah-mudahan apa yang dirancang dapat diterjemahkan di atas padang seterusnya memberi keputusan baik kepada kami,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Bekas penyerang sensasi Indonesia itu berkata, dua kekalahan berturut-turut sebelum ini memberikan ‘amaran’ kepada mereka dan pastinya kemenangan sangat diperlukan ketika ini.

Katanya, kekalahan kepada PJ City di Stadium Likas, Sabtu lalu, tidak disangka dan mereka perlu ‘membayarnya’ dengan kemenangan di Kuantan malam ini.

“Kita pastinya mahu lebih agresif daripada mereka (Sri Pahang FC) kerana kita sangat memerlukan kemenangan atau mengutip mata di Kuantan. Apapun, kami masih menganggap menentang Sri Pahang FC ini satu lagi aksi sukar walaupun keputusan mereka sama macam kami iaitu dua kekalahan dan sekali seri,” katanya.

Skuad Badak sebelum ini seri 1-1 dengan Melaka United di gelanggang lawan namun dua perlawanan terakhir menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) di Alor Setar serta kecundang 0-1 kepada PJ City di Likas.

Sementara itu, Sri Pahang FC tewas dua perlawanan pertama mereka iaitu kepada Selangor 1-3 dan Perak 0-2 namun mereka kemudian berjaya mengutip satu mata ketika bertemu Melaka United, Sabtu lalu. – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *