KL City ikat Sabah di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC terlepas peluang menjarakkan kedudukan di tempat kedua Liga Super selepas terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Kuala Lumpur City FC susulan terikat 2-2 pada aksi di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Meski bermain di hadapan lebih 10,000 penyokong, skuad Sang Badak jelas gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mengumpul tiga mata akibat beberapa kesilapan mudah.

Kesilapan pertama berlaku seawal minit kelima apabila anak buah Datuk Ong Kim Swee yang masih menyusun rentak permainan dikejutkan dengan gol lawan hasil tandukan pemain import KL City FC, Giancarlo Gallifuoca.

Gallifuoca berjaya memanfaatkan bola sepakan percuma dari luar sebelah kiri kotak penalti yang ditujukan dengan tepat ke arahnya oleh kapten pasukan, Paulo Jouse tanpa diduga pertahanan Sabah.

Selepas ketinggalan 1-0, barulah Sabah mula mengatur serangan ke arah KL City dan berjaya mencipta beberapa peluang serta percubaan, namun berjaya dipatahkan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.

Serangan berbahaya Sabah bermula pada minit ke-12 apabila pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama berpeluang melakukan cubaan melalui tandukan, namun agak lemah dan mudah dihalang oleh Mendoza.

Ia kemudian disusuli peluang menerusi dua sepakan sudut pada minit ke-23 dan ke-24 sebelum disusuli sepakan percuma dari luar sebelah kanan kotak penalti KL City pada minit ke-25, namun masih gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Meskipun skuad Bojan Hodak tidak banyak mendapat peluang menyerang balas, usaha pemain Sabah pada minit seterusnya hingga tamat separuh masa pertama permainan juga tiada yang berhasil.

Memasuki babak kedua perlawanan, Sabah kelihatan mengubah rentak permainan dengan persembahan lebih agresif dalam usaha mencari gol penyamaan.

Akhirnya pada minit ke-47, usaha Sabah untuk mencari gol penyamaan berhasil menerusi ketangkasan Dominic Tan mencuri peluang melakukan cubaan selepas melihat bola terlepas daripada hadangan Mendoza di hadapan gawang KL City.

Dengan kedudukan 1-1, semangat pemain Sabah untuk menambah jaringan bagi memastikan kemenangan di gelanggang sendiri melonjak semula dengan aksi yang lebih agresif.

Namun, Sabah sekali lagi dikecewakan apabila KL City berjaya menambah gol kedua menerusi Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-60 menjadikan kedudukan berubah dengan KL City mendahului dengan 2-1.

Pada minit ke-66, Saddil berjaya melakukan cubaan berbisa untuk Sabah melalui sepakan leretnya namun berjaya ditepis Mendoza sebelum skuad Kim Swe sekali lagi melakukan cubaan melalui sepakan sudut, namun tidak membuahkan gol.

Selepas itu, Sabah meneruskan lagi usaha untuk sekali lagi menyamakan kedudukan, kali ini dibantu dengan kemasukan pemain sensasi Amri Yahyah yang dibawa masuk pada minit ke-67.

Amri yang agak agresif dalam usaha mencari gol penyamaan untuk Sabah sehingga dilayangkan kad kuning pada minit ke-80, dilihat banyak membantu untuk meningkatkan peluang tuan rumah.

Akhirnya Sabah sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Saddil Ramdani di hadapan gawang KL City selepas gagal ditepis Mendoza pada minit ke-85 menjadikan kedudukan kembali terikat, kali ini dengan 2-2. Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *