Kim Swee lega Sabah atasi Sarawak

KOTA KINABALU: Jaringan N Thanabalan pada minit akhir perlawanan membantu Sabah FC menewaskan Sarawak United, 2-1 dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Terdahulu, skuad Badak di depan menerusi jaringan bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar pada minit kesembilan, sebelum kelebihan itu dipadam Uche Agba, ketika aksi berbaki seminit.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Sabah FC menduduki tangga kedua saingan Piala SMJ dengan himpunan tiga mata selepas dua aksi, ketinggalan satu mata di belakang Kedah. Kelantan FC di tempat ketiga, juga dengan tiga mata manakala Sarawak United di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Mengulas kemenangan berkenaan, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya meneruskan corak permainan yang agresif apabila mendahului pada perlawanan seterusnya.

Beliau turut mengulangi kelemahan utama pasukannya yang masih leka dalam permainan selepas mendahului jaringan yang menjadi punca kekalahan 2 – 1 ketika bertemu Kelantan FC dalam perlawanan pertama Ahad lalu.

“Namun, prestasi hari ini (malam tadi) lebih baik berbanding perlawanan pertama menentang Kelantan FC tempoh hari tetapi kita harus ingat apabila kita mendahului, kita masih selalu leka dan ini tidak sepatutnya berulang lagi.

“Hari ini (malam tadi) kita berjaya mendapat gol kemenangan pada minit terakhir tetapi secara keseluruhan kita harus memperbaiki lagi permainan. Kita perlu meneruskan corak permainan yang agresif apabila mendahului perlawanan,” katanya.

Kim Swee turut mengakui pemain yang diturunkan malam tadi belum cukup cergas termasuk Badrol yang belum pulih sepenuhnya dari masalah kecederaan dengan hanya 16 pemain sebagai pilihan untuk diturunkan.

Sabah FC akan bertemu Kedah dalam perlawanan ketiga Piala SMJ Cup di Stadium Likas, jam 9 malam Jumaat ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *