Kehadiran Pemain Import Bakal Beri Kekuatan Sabah FC

KOTA KINABALU : Kehadiran tiga pemain import yang bakal menyertai skuad Sabah FC minggu hadapan dijangka akan memberi kekuatan kepada pasukan itu bagi menghadapi perlawanan pra musim Liga Super 2022.

Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, ianya juga akan dapat memberi perubahan sedikit kepada corak permainan skuad kendaliannya sebelum saingan liga musim ini bermula.

Gambar: FB Sabah FC

“Dari segi keputusan perlawanan persahabatan malam ini (semalam) sudah tentu tidak membanggakan namun kita nampak beberapa kelemahan dan kekuatan kita, apa yang penting tiada pemain cedera.  Namun saya katakan keputusan itu mengecewakan.

“Namun kita ada tiga pemain import yang akan hadir pada minggu depan dan dari sana mungkin akan ada perubahan sedikit namun ini bukan satu alasan tanpa pemain import kita tewas.

“Pemain perlu bangkit semula dan mereka harus tahu bahawa mereka perlu berusaha lebih gigih sebelum kita bermula saingan liga nanti,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC di Stadium Likas disini semalam.

Pada perlawanan persahabatan pra musim itu, Sabah FC tewas kepada pasukan pelawat Kuching City FC dengan jaringan 0-1.

Kim Swee berkata, pemain perlu mempelajari dan mengadaptasi situasi-situasi yang berlaku ketika perlawanan persahabatan pra musim dan ia perlu jadi satu pengajaran.

“Paling penting bukan untuk malam ini (semalam) tetapi apabila kita bermula liga nanti, kita tidak boleh ulangi kesilapan atau pun tidak dapat menjaringkan sebarang gol dan mungkin akan memberi tekanan,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, pasukannya sekali lagi akan mengadakan perlawanan persahabatan bagi pra musim Liga Super 2022 menentang pasukan bawah 23 tahun kebangsaan pada minggu depan.

“Kita ada satu lagi perlawanan minggu depan dimana kita akan bermain dengan pasukan bawah 23 kebangsaan, pasti ini akan memberi kita satu peluang untuk memastikan kita memperbaiki prestasi apa yang kita lakukan malam ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *