Jaringan Park Tae-su julang Sabah
MELAKA: Jaringan tunggal Park Tae-su membolehkan Sabah FC ceria meraih tiga mata menewaskan Melaka United (MU) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.
Beraksi tanpa kelibat dua penyerang import Olusegun Ifedayo dan Adriano Narcizo yang ditimpa kecederaan, Melaka dilihat cuba membentuk sentuhan lebih tajam pada awal babak permainan.
Bagaimanapun skuad Sang Badak lebih banyak menguasai permainan dengan sesekali tuan rumah cuba melakukan serangan balas.
Peluang terbaik pelawat meledak jaringan pertama hadir pada minit ke-16 menerusi Dominic Tan hasil sepakan sudut kapten pasukan Baddrol Bakhtiar namun tinggi melepasi palang gol diikuti tandukan Tommy Mawat dua minit selepas itu juga tersasar.
Pemain import Korea Selatan, Park Taesu menjadi hero Sabah selepas bijak mencipta jaringan pertama pasukannya pada minit ke-25 selepas kesilapan pertahanan tuan rumah dengan merembat cantik ke kiri gawang Melaka.
Selepas jaringan itu skuad Hang Tuah masih tercari cari rentak untuk melakukan gerakan dan percubaan bahaya ketika pelawat lebih banyak mendominasi aksi.
Keputusan berkenaan memperlihatkan Melaka masih buntu mencipta kemenangan selepas tiga perlawanan dan menghuni tangga kesembilan sementara pelawat ceria meraih kemenangan kedua mereka sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga setakat ini. -BH