Hukuman berat menanti Rizal
KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Sabah, Rizal Ghazali berdepan hukuman berat sekiranya tidak mempunyai alasan kukuh selepas menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Ketika mengesahkannya, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan bentuk hukuman akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.
Katanya, setakat ini pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kem latihan pusat masih berlangsung di luar tarikh aksi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Sebenarnya kita hanya boleh ambil tindakan jika dia tidak menghadiri latihan kebangsaan pada tarikh FIFA. Jadi kita kena tunggu sampai tarikh FIFA itu, sebab sekarang ini bukan tarikh FIFA lagi.
“Tarikh FIFA adalah 21 Mac, kalau sehingga 21 Mac dia tidak menghadirkan diri, kita akan bawa perkara ini kepada Jawatankuasa Tatatertib sebab jawatankuasa itu yang akan ambil apa juga tindakan yang perlu.
“Saya hanya dimaklumkan oleh jurulatih sahaja. Saya tak dapat surat secara rasmi daripada dia (Rizal). Macam Syahmi (Safari), saya ada terima surat daripada dia.
“Kalau kecederaan pun kita kena dapatkan surat doktor dan pihak doktor FAM kena mengesahkan kecederaan, barulah dia boleh dibenarkan supaya tidak menghadirkan diri ke latihan kebangsaan,” katanya.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dalam kenyataan semalam memaklumkan Rizal menolak pelawaan menyertai latihan skuad kebangsaan sebagai pengganti kepada Syahmi yang meminta pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.
Keadaan itu memaksa Pan Gon memberi peluang kepada pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.
Selain itu, Saifuddin menjelaskan antara bentuk hukuman yang mungkin boleh dikenakan jika pemain itu tidak mempunyai alasan kukuh menolak menyertai latihan skuad kebangsaan termasuk denda atau penggantungan dalam liga.
“Ada berbagai hukuman, hukuman denda pun ada lebih kurang dalam RM25,000 dan juga dia mungkin akan digantung permainan. Terpulang kepada jawatankuasa untuk menentukan berapa perlawanan dan sebagainya.
“Jika esok atau lusa dia datang, tiadalah tindakan lagi. Sekarang ini saya tak boleh ambil apa-apa tindakan sebab dalam peraturan adalah (ikut) tarikh FIFA. Kalau saya ambil tindakan bermakna salah, saya sendiri yang salah,” katanya. -BH