“Gaji hakiki dan elaun atlet dua perkara berbeza” – Rayzam

KUALA LUMPUR : Gaji kerja hakiki dan elaun selaku atlet adalah dua perkara berbeza.

Justeru, mengaitkan kedua-duanya dalam konteks sama adalah tidak adil.

Atlet 110 meter lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian menyifatkan alasan Pengarah Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin untuk melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun latihan adalah tidak wajar.

“Apa kaitan saya bekerja bersama lembaga sukan dan elaun latihan?” soalnya.

“Di Sabah saya bekerja makan gaji RM2,700 sebulan, tapi pada masa yang sama saya mewakili negara untuk bertanding.

“Dibayar dengan RM800 macam tidak berbaloi. Jadi tak boleh samakan kerja dan elaun saya,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini melalui aplikasi Google Meet.

Rayzam yang menghuni ranking kedua Asia dan menyumbang pingat pada setiap kejohanan itu memohon agar pihak berkaitan menyemak semula skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu untuk mengikuti program latihan tahun ini.

Pemotongan jumlah bayaran sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat para atlet yang sedang mempersiapkan diri ke Sukan SEA Vietnam 2022.

“Sekarang semua atlet yang terkesan, nak buat latihan pun tak ada semangat.

“Dengan bayaran RM800, siapa nak buat latihan RM800? Buat latihan penat-penat, sakit-sakit, tapi MSN nak kami bagi komitmen 100 peratus buat latihan,” luah Rayzam yang berusia 34 tahun.

Pada Rabu lalu, MSN mengumumkan pengurangan skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu susulan peruntukan kewangan yang terhad. – Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published.