‘Counter Attack’ punca Sabah FC tewas malam tadi – Kim Swee
KOTA KINABALU: ‘Counter Attack’ antara faktor utama Sabah FC tewas 0-1 kepada Kuching City FC di Stadium Likas malam tadi.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata kekalahan malam tadi memberi pengajaran besar sekali gus berharap ia tidak berulang dalam kempen Liga Malaysia akan datang.
“Apabila liga bermula nanti sudah tentu faktor ini menjadi pengajaran penting dan kita perlu mencipta ruang untuk menjaringkan gol awal apabila mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.
“Jika tidak dapat menjaringkan sebarang gol kita mungkin akan tertekan menyebabkan pemain akan hilang fokus.
“Keputusan malam tadi sudah tentu tidak membanggakan semua pihak terutama terutama sekali penyokong “The Rhinos”.
“Namun kita nampak beberapa kelemahan perlu diperbaiki disamping bangga dengan kekuatan iaitu tiada pemain cedera sehingga berakhir tempoh perlawanan 90 minit permainan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dikeluarkan hari ini.
Kim Swee berkata, tanpa sebarang kekejangan otot sudah tentu tahap kecergasan serta fitness pemain berada dilandasan terbaik namun keputusan semalam sangat mengecewakan semua pihak.
“Ini adalah lumrah apabila pasukan yang tahu kita mempunyai kekuatan tertentu mereka akan bertahan sekali gus cuba melengahkan masa perlawanan.
“Ini kita harus pelajari dalam pra musim kita harus mencuba serta mengadaptasi situasi seperti yang berlaku pada perlawanan malam tadi.
“Saya tahu peminat mengharapkan kita untuk menang pada perlawanan persahabatan malam tadi,” katanya.
Kim Swee berkata, beliau tahu ramai kalangan peminat Sabah FC hadir di Stadium serta di rumah tidak berpuas hati dengan keputusan semalam.
Namun ini baru permulaan perlawanan persahabatan dan masih ada ruang untuk Sabah FC memperbaiki kelemahan sedia ada selain berharap semua pemain tidak tertekan keputusan perlawanan malam tadi.
“Kita harus mempelajari seperti saya katakan tadi. Selepas ini kita ada tiga pemain import yang akan hadir bersama Sabah FC pada minggu depan.
“Kehadiran mereka mungkin membawa perubahan sedikit namun ini bukan alasan.
“Tanpa pemain import yang cukup kita mungkin akan tewas lagi….tetapi ini masa untuk pemain bangkit semula mereka harus tahu serta perlu berusaha lebih gigih sebelum bermula kempen liga nanti,” katanya.