Benar elaun RM800, tapi rayzam ada gaji dan elaun jurulatih

PETALING JAYA: Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengakui elaun terkini yang diperkenalkan iaitu RM2,000 untuk pemenang pingat emas, manakala perak dan gangsa menerima RM800 diputuskan kerana MSN mahu bersikap lebih adil kepada atlet yang bekerja keras untuk memenangi pingat emas.

Mengulas lanjut mengenai Rayzam Shah Wan Sofian, beliau memberitahu, selain elaun RM800 yang diberi MSN, atlet itu kini berkhidmat bersama Lembaga Sukan Negeri Sabah sebagai kakitangan am rendah yang menerima gaji RM2,700 sebulan.

Selain itu, Jefri menambah, Rayzam turut diberi peranan selaku jurulatih olahraga bersama Sukan Malaysia (Sukma) Sabah dan dia menerima elaun untuk tugasnya itu.

“Elaun yang kita perkenalkan sekarang adalah berdasarkan penilaian prestasi semasa para atlet.“Kita juga mahu bersikap lebih adil. Kalau dulu semua sama dapat RM2,000 tak kira atlet itu menang emas, perak atau gangsa.

Sekarang kita mahu atlet berusaha lebih keras dan menjadi satu dorongan mereka mendapatkan emas agar layak menikmati elaun RM2,000 itu.

“Jadi, bagi saya tidak timbul dia tak cukup belanja di Sabah dan tak payah kerja di McDonald pun,” jelas kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menerusi laporan Utusan Malaysia, kelmarin, Rayzam yang menghuni ranking kedua Asia dan penyumbang pingat pada setiap kejohanan terkilan elaun latihan bulanannya dipotong oleh MSN daripada RM2,000 kepada RM800.

Katanya, dengan status sebagai atlet kebangsaan sepenuh masa yang bergantung kepada elaun, amat mustahil buat dia atau mana-mana atlet sekalipun ‘hidup’ dengan RM800 sebulan.

Dalam pada itu, tambah Jefri menetap dan berlatih di Sabah merupakan pilihan Rayzam sendiri dan bukannya MSN yang mengarahkan atlet olahraga itu berbuat demikian.

Pemenang ­pingat emas 110 meter lari berpagar pada Sukan SEA 2007 dan 2017 itu, sejak menyertai program latihan kebangsaan pada 2017 lagi, Rayzam memilih untuk duduk di Sabah sedangkan badan induk sukan negara itu telah menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan buat atlet berkenaan di Bukit Jalil.

“Dia yang memilih untuk duduk di Sabah sejak program 2017 lagi. Memang penginapan, makanan, tempat latihan dan sebagainya kita telah sediakan di MSN, tetapi tidak di Sabah.

“Dia yang memilih untuk kekal berlatih di Sabah supaya dapat bersama keluarganya di sana. Kita tidak mampu menawarkan semua kemudahan seperti di MSN apabila atlet yang memilih untuk menetap di luar Bukit Jalil.

“Mereka yang merupakan atlet sepenuh masa sepatutnya tinggal berlatih bersama rakan sepasukan yang lain di Bukit Jalil yang sudah tentunya mempunyai segala kemudahan tersebut.

Justeru itu, tidak timbullah elaun latihan tidak mencukupi kalau tinggal di MSN,” katanya.Ketika ditanya sama ada MSN bersedia membuka pintu kepada Rayzam jika atlet itu berhajat mahu kembali berlatih di Bukit Jalil, beliau mengalu-alukan hasrat tersebut.

“Kami tak ada masalah untuk terima dia di MSN, kami sedia buka pintu. Apa yang penting berlatih bersungguh-sungguh menjelang Sukan SEA di Vietnam dan jika dia berjaya menang emas, elaun RM2,000 bakal menjadi miliknya,” ujarnya – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.