4 Pemain Sabah FC JDT Perlu Lihat Menjelang Pertemuan ‘Top Of The Table’ Liga Super Malaysia

Sabah FC antara pasukan yang konsisten mempamerkan aksi cemerlang dalam Liga Super Malaysia (MFL) musim 2022/2023 ketika ini.

Pasukan yang digelar skuad Badak mendapat sentuhan jurulatih yang amat berpengalaman dalam bolasepak negara Datuk Ong Kim Swee serta berjaya menghimpunkan pemain yang pernah bersama dengannya ketika dalam skuad kebangsaan sebelum itu.

Sabah FC kini berada di tangga ke-2 di dalam Liga Super Malaysia (MSL) dengan mencatatkan tujuh kemenangan , satu seri dan dua kekalahan dan telah mengharungi 10 perlawanan dengan pungutan 22 mata.

Johor Darul Ta’zim yang sedang berada di puncak Liga Super Malaysia akan bertandang ke Stadium Likas pada 15 Julai 2022 (Jumaat) seharusnya bersiap sedia untuk menghadapi sorakan pemain ke-12 Sabah yang akan memenuhi 35 ribu tempat duduk stadium berkenaan.

Gabungan pemain baharu mahupun yang berpengalaman antara kunci kejayaan Sabah FC bagi meneruskan rentak cemerlang mereka pada kali ini.

Pengendali JDT Benjamin Mora pasti mahukan kemenangan ke atas Sabah FC bagi terus mencengkam kedudukan teratas namun perlu berwaspada dengan taktikal Ong Kim Swee kerana sekiranya terperangkap , mereka pasti berasa kecewa.

Ini 4 pemain Sabah FC yang JDT perlu berwaspada.

1. Saddil Ramdani

Penyerang sayap yang berasal dari Indonesia ini telah mempamerkan aksi terbaiknya ketika menewaskan Negeri Sembilan pada minggu lalu.

Beraksi di sebelah sayap kanan , Saddil sentiasa mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang boleh membuka peluang kepada rakan untuk menjaringkan gol.

Pemain berusia 23 tahun ini menjadi tonggak utama Sabah FC dan sudah pasti namanya akan tersenarai dalam kesebelasan utama menentang juara lapan kali Liga Super Malaysia berkenaan.

2. Baddrol Bakhtiar

Kapten Sabah FC ini menjadi nadi utama pasukan dan telah bermain 10 perlawanan dengan tiga jaringan yang dapat dihasilkan oleh beliau.

Mengepalai jentera tengah Sabah FC , Baddrol menggunakan sepenuh pengalamannya untuk merencana gerakan serangan , mengalirkan bola ke hadapan bagi membuka peluang rakan sepasukan menghasilkan gol selain kerap turun ke bawah untuk menyekat serangan dari pasukan lawan pula.

Walaupun sudah berusia 34 tahun , Baddrol masih mampu menghasilkan jaringan yang cantik. Antaranya jaringan akrobatik ketika menewaskan Sarawak FC pada Mei yang lalu.

Baddrol juga antara pemain yang mampu meledakkan gol dengan tendangan deras di luar kotak penalti.

3. Taiki Kagayama

Biarpun pemain import berasal Jepun ini tidak setara dengan penyerang JDT seperti Leandro mahupun Forestieri , namun kemasukan beliau ternyata mendatangkan impak positif kepada Sabah FC.

Bermain di belakang penyerang utama , dan diberikan peranan free-role oleh Ong Kim Swee , pemain berusia 26 tahun ini telah menghasilkan satu gol dan dua ‘assist’ untuk pasukan FC.

Taiki Kagayama sering bergandingan dengan Baddrol Bakhtiar pada setiap kali perlawanan dan keserasian mereka jelas mendatangkan kelancaran taktikal pasukan yang diterapkan oleh jurulatih mereka untuk mendapatkan kemenangan yang seterusnya.

4. Amri Yahya

Kudrat pemain veteran berusia 41 tahun ini masih diperlukan oleh Sabah FC meskipun tidak bermain dalam semua perlawanan yang telah diharungi.

Menjaringkan hatrik ketika membelasah Kedah April lalu membuktikan beliau masih berbisa di hadapan gol, penyerang ini mampu menjadi super-sub kepada Sabah FC sekiranya diperlukan untuk berhadapan dengan Johor Darul Ta’zim.

Adalah tidak mustahil Amri Yahya dapat mengejutkan penjaga gol JDT seperti Farizal Marlias kerana kemahiran dan muslihatnya untuk menjaringkan gol seperti yang pernah dia lakukan kepada lagenda penjaga gol Manchester United Edwin van der Sar.

Rumusan

Penyokong Sabah FC pasti teruja untuk menonton pertembungan antara skuad Badak dan Harimau Selatan pada Jumaat ini. Dengan kehadiran ‘full house’ di Stadium Likas Kota Kinabalu , akan menaikkan motivasi pemain untuk memberikan kemenangan sebagai hadiah khas untuk penyokong setia mereka. -grandstandkita.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *