Siling auditorium Wisma Dang Bandang runtuh, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU : Siling auditorium Wisma Dang Bandang yang menempatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Meteorologi dan Jabatan Imigresen runtuh dalam kejadian lewat petang kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di tingkat 11 bangunan itu pada 3.32 petang sebelum anggota bomba dari balai Kota Kinabalu bergegas ke lokasi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan ketika anggota bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan itu, pihak pengurusan bangunan diarah mengesahkan keselamatan struktur bangunan.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi telah dibatalkan pada 4.18 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, pekerja di bangunan itu bergegas keluar dan berkumpul di tempat selamat apabila gegaran dirasai di bangunan itu petang ini.

Semakan dengan Jabatan Meteorologi mendapati tiada kejadian gempa bumi dilaporkan di seluruh negeri. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.