Usah bahas isu keikhlasan jika tidak faham maknanya: Fairuz

KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan menasihati pihak lain yang ingin mempersoalkan keikhlasan dan kejujuran BERSATU di Sabah apabila melantik Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang menentang calon-calon UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu untuk memegang jawatan penting dan strategik dalam negeri, untuk berhenti dari membuat tohmahan yang tidak berasas.

“Mengapa sekarang ditimbulkan isu sebegini, keikhlasan dan kejujuran BERSATU terhadap UMNO di Sabah, dan mengapa dia (Ir Abdul Aziz Julkarnain) seakan-akan gemar menjadi pihak yang mencurahkan minyak kepada api?

“Dari sudut mana pula beliau mahu katakan yang BERSATU di Sabah mengkhianati UMNO, sehinggakan mereka terpaksa berlapang dada kerana mahu memperbaiki kerosakan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Disini lah gambaran mengapa dulu saya pernah menegur beliau untuk siasat sebelum bercakap, berfikir sebelum menyeluarkan apa-apa kenyataan, bukannya emosi membuta tuli,” kata Fairuz dalam satu kenyataan media disini hari ini.

Menurut Fairuz, keyakinan yang diluahkan Abdul Aziz dalam statusnya di Facebook itu adalah lancang dan ‘busuk’.

“Dia mengimbau kembali tentang pendirian kerjasama UMNO dengan BERSATU sebelum sebarang rundingan agihan kerusi diteruskan pada PRU15 kelak, tetapi dia sendiri sebenarnya bercakap tanpa berfikir dua kali.

“Sebagaimana saya pernah menegur beliau sebelum ini, hari ini sekali lagi saya katakan, berhenti untuk membuat sebarang kenyataan yang akan menyinggungkan perasaan pihak lain kerana dalam situasi begini, semua pun masing-masing mahu mencurahkan rasa hati dengan memburukkan pihak lain.

“Calon UMNO dalam PRN Sabah yang lepas, kalah, pun juga dilantik menjadi ADUN Dilantik, maka dimana timbulnya isu bahawa BERSATU tidak jujur, tidak ikhlas dan kununnya UMNO terpaksa berlapang dada dengan pengkhianatan BERSATU, semata-mata demi menyelamatkan Sabah,” tegas Fairuz lagi.

Tambah Fairuz, jika pihak tertinggi dalam UMNO telah memutuskan untuk tidak bekerjsama lagi dengan BERSATU dan rakan-rakan lain dalam Perikatan Nasional pada masa akan datang, tidak mengapa.

“Tidak mengapa jika begitu sudah diputuskan oleh pimpinan atasan UMNO, namun pada masa kini, di Sabah, selagi kerajaan yang mentadbir adalah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, yang dibentuk dengan kerjasama yang melibatkan kedua-duanya (BERSATU dan UMNO), maka saya merasakan tidak wajar untuk dia (Abdul Aziz) menjadi duri yang terus menusuk dan merosakkan penyatuan GRS untuk Sabah kerana perjalanan GRS di negeri Sabah, untuk rakyat Sabah, masih panjang,” ujar beliau.

Selain itu, Fairuz turut menasihati dan meminta agar Abdul Aziz berhenti berpolitik dan sama-sama membantu usaha kerajaan GRS membendung pandemik COVID19 di Sabah.

“Ada baiknya jika kita bersama, selagi masih bernaung dalam kerajaan GRS, fokus untuk kita pulihkan Sabah, bangun semula dari kesan akibat COVID19, sudah-sudahlah kejar publisiti atau mahu glamor yang sementara, tidak juga dia beri apa-apa sumbangan besar untuk usaha kerajaan GRS pulihkan Sabah.

“Lebih baik sama-sama bantu usaha kerajaan GRS, namun jika tidak mampu atau tidak mahu, berdiam diri lebih baik, daripada bising tidak bertempat,” kata Fairuz.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain pagi tadi dalam laman media sosial Facebook beliau (IR ABDUL AZIZ JULKARNAIN) telah memuatnaik kenyataan di status beliau tentang soalan yang beliau terima berkenaan kemana hubungan UMNO Sabah dan BERSATU selepas ini.

Dalam status yang ditulis dengan sepuluh perkara dan penjelasan itu, Abdul Aziz juga berkata beliau disoal tentang hala tuju kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khasnya hubungan UMNO dengan BERSATU selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Pusat telah bermesyuarat dan memberi maklum balas untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hanya kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.