UMNO/BN sepakat terus mendukung Pelan Pemulihan Negara – Ismail Sabri

KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN terus menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun 2021 lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara, jelas Datuk Seri Ismail Sabri Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan media.

“Selaras dengan itu, Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan. Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19. Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

“Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

“Menteri serta Timbalan Menteri daripada parti UMNO/BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan COVID-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” tambahnya lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published.