‘Saya bukan tali barut’
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan dirinya bukan tali barut yang menidakkan usaha menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang hangat dibincangkan sejak sekian lama.
Sebaliknya, beliau hanya menyatakan sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Persekutuan.
“Saya bukan tali barut, saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dan saya tidak pernah berkata untuk menidakkan perjanjian MA63.
“Apa yang saya kata, pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu adalah maklum balas terhadap tuduhan kononnya ada pihak menghalang usaha mencapai tuntutan MA63 berikutan cadangan pemimpin BN termasuk Bung Moktar berhubung usaha merealisasikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, hanya pemimpin bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi berlebihan.
“Ada pepatah mengatakan pemimpin yang tidak bijak seumpama anjing menyalak bukit, beratus tahun pun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh.
“Pemimpin bijak diibaratkan seperti anjing yang pandai, kurang menyalak tetapi ia akan menyusuri jalan kecil sehingga ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dimahukan,” katanya.
Ketua UMNO Sabah itu berkata, rundingan baharu atau new deal yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian dipersetujui akan dihapuskan.
Dengan cara itu, katanya, Sabah akan mendapat lebih peruntukan dan bukan seperti pemimpin yang berjuang untuk mencari publisiti murahan semata-mata.
Jelasnya, MA63 dimeterai berpuluh tahun lalu, namun belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu itu hingga ada yang dipenjarakan.
Bung Moktar turut membidas bekas pemimpin BN yang kini lantang bersuara mengenai MA63 tetapi hanya berdiam ketika berada dalam kerajaan BN sebelum ini.
“Sekarang mereka memikirkan kuasa semula kerana akan berdepan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bukan usaha membangunkan Sabah,” katanya. -BH