Saya Bukan Kroni Tun M – Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan beliau sebagai kroni Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan keputusan partinya untuk melebarkan sayap ke Semenanjung.

Ahli Parlimen Semporna itu menjelaskan, beliau agak kecewa apabila wujudnya tuduhan tidak berasas yang mengaitkan dirinya sebagai kroni Pengerusi PEJUANG itu.

Menurutnya, beliau pernah berselisih pendapat dengan bekas Perdana Menteri itu ketika Dr Mahathir membawa masuk BERSATU ke Sabah pada 2019.

“Walau bagaimanapun, bantahan dibuat oleh WARISAN tidak diendahkan dan BERSATU berjaya melebarkan sayap ke Sabah. Situasi itu membawa kepada pertelingkahan yang besar.

“Jadi, macam mana orang boleh mengatakan saya kroni (Dr Mahathir) sedangkan saya menentang kemasukan BERSATU ke Sabah sebelum ini,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, ketika bersama UMNO dahulu, beliau menyokong semua kepimpinan parti sama ada Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, bekas Naib Presiden UMNO itu menegaskan, ia bukan bermakna beliau adalah kroni mana-mana pihak.

“Saya pernah berada dalam UMNO bersama-sama pemimpin parti tapi, tidak bermakna kita perlu patuh kepada segala tindakan mereka.

“Ini yang menyebabkan saya keluar daripada UMNO pada 2016 dan menubuhkan WARISAN serta kemudian mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu mahu pembangkang mengambil pengajaran situasi yang berlaku di Johor hingga menyebabkan 1,000 ahli DAP keluar parti dan menyertai BERSATU.

Mohd Shafie berkata, pembangkang harus membenarkan ahli-ahli mereka menyertai parti lain dalam blok tersebut bagi mengelakkan mereka menyertai barisan kerajaan.

“Jika tidak dapat menghalang mereka daripada meninggalkan parti maka, benarkan kumpulan itu menyertai parti pembangkang lain.

“Misalnya, seperti Dr Maszlee Malik yang menyertai PKR dan merupakan sebahagian daripada parti pembangkang. WARISAN masih kekal mesra kepada PKR dan DAP dalam blok pembangkang,”katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie menegaskan, beberapa nama besar akan menyertai WARISAN di Semenanjung namun perkara itu akan diumumkan apabila tiba waktu yang sesuai.

“Penerimaan rakyat Semenanjung terhadap WARISAN ketika ini amat disambut baik.

“Saya percaya terhadap keperluan untuk menyatukan negara ini bukan hanya melalui platform politik tetapi, dengan menerima pandangan daripada rakyat Semenanjung dan juga suara rakyat Sabah dalam berkongsi kuasa untuk membina sebuah negara,” katanya. – Getaran, Gambar daripada: MySumber

Leave a Reply

Your email address will not be published.