Pertuduhan dokumen palsu: Naib Presiden WARISAN diarah bela diri
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang merupakan Naib Presiden Parti WARISAN Sabah, membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan lima hari bermula 3 Januari depan untuk Anthony membela diri.
Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap, Sabah, diberi tiga pilihan untuk membela diri dan memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Terdahulu, peguam bela, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin, yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah seramai tujuh saksi pembelaan akan dipanggil memberi keterengan.
Pada 21 September lalu, pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.
Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada April 2021.
Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula April lalu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
Anthony, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.